SYURGA DAN
PENGHALANG-PENGHALANGNYA(1)
Antara
harapan terakhir umat Islam selepas berlaku kematian ialah Allah memberinya
peluang memasuki Syurga.Berita sama ada mereka orang yang bahagia (penghuni
syurga) atau seorang yang celaka (penghuni neraka)akan terus diketahui apabila
berlaku kematian kepada seseorang ( Maksud Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari
No:3240,Fath al-Bari,Jilid 6/hlm 443).Syurga adalah merupakan tempat
rehat abadi kepada para penghuninya.Syurga mempunyai 8 pintu (Mafhum Hadis
Sahih Riwayat al-Bukhari,No: 3257 Fath al-Bari,Jilid 6/hlm 459). Semua
umat Islam begitu mengharapkan keampunan dan maghfirah daripada Allah supaya
harapannya ini tercapai.Hal ini kerana manusia sememangnya tidak terlepas
daripada kesalahan dan kesilapan.Kenyataan ini jelas disebut oleh Rasulullah
SAW dalam sebuah hadis iaitu Amalan baik manusia bukan jaminan untuk masuk ke
syurga.Semuanya bergantung pada rahmat (belas kasihan) Allah kepada hamba-hamba-Nya.Manusia
perlu faham akan hakikat ini supaya mereka sedar akan kedudukan mereka di sisi
Allah dan mereka tidak berasa bahawa kemasukan mereka ke syurga merupakan hasil
penat lelah mereka beramal baik semasa di dunia.Hal ini merupakan pandangan
yang silap.(Rujuk hadis no:6464 Sahih al-Bukhari.Untuk penjelasan lanjut
sila rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh al-Bukhari,Jilid 11/hlm 409,410,411 dan
412)
Sebenarnya
cita-cita untuk memasuki syurga sepatutnya ditanam dalam jiwa setiap muslim
supaya mereka sentiasa berusaha mendapatkannya.Usaha atau amalan untuk
mendapatkan syurga bukanlah mudah.Jalan ke syurga dipenuhi oleh onak duri dan
kepayahan.Terdapat banyak halangan yang perlu dilepasi untuk memasuki syurga.Ada
halangan yang terdapat dalam diri manusia sendiri dan ada halangan yang
melibatkan manusia lain.
Antara
penghalang manusia daripada memasuki syurga ialah sifat takabur atau
bongkak.Hal ini disebut dengan jelas oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis
sahih dari Abdullah bin Mas’ud RH yang
berbunyi:
لاَ
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلبِهِ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan
masuk syurga seseorang yang ada dalam hatinya walau sedikit sifat takabbur
(Hadis Riwayat Muslim No: 91,Sahih Muslim Syarh
al-Nawawi,Jilid 2/hlm 268 dan Hadis Riwayat at-Tarmizi,Tuhfah al-Ahwazi,Jilid
6/hlm 104)
Sifat
Takabur yang dimaksudkan di sini ialah sifat takabbur yang menyebabkan
seseorang itu membanggakan diri dengan merasakan bahawa dirinya lebih baik daripada
orang lain di samping memandang rendah kepada orang lain dan menolak kebenaran
yang datang daripada Allah.Menolak kebenaran di sini bermaksud menolak kebenaran
agama Allah.Sifat takabur ini membawa kepada kekufuran.Kekufuran inilah yang
akan menghalang seseorang daripada masuk ke syurga.Wallahu a’lam(Sahih
Muslim Syarh al-Nawawi,Jilid 2/hlm 268,269,270 dan 271)
No comments:
Post a Comment