Wednesday 5 September 2012

Siri Hadis Tentang Halangan-Halangan Syurga 1


SYURGA DAN PENGHALANG-PENGHALANGNYA(1)
            Antara harapan terakhir umat Islam selepas berlaku kematian ialah Allah memberinya peluang memasuki Syurga.Berita sama ada mereka orang yang bahagia (penghuni syurga) atau seorang yang celaka (penghuni neraka)akan terus diketahui apabila berlaku kematian kepada seseorang ( Maksud Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari No:3240,Fath al-Bari,Jilid 6/hlm 443).Syurga adalah merupakan tempat rehat abadi kepada para penghuninya.Syurga mempunyai 8 pintu (Mafhum Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari,No: 3257 Fath al-Bari,Jilid 6/hlm 459). Semua umat Islam begitu mengharapkan keampunan dan maghfirah daripada Allah supaya harapannya ini tercapai.Hal ini kerana manusia sememangnya tidak terlepas daripada kesalahan dan kesilapan.Kenyataan ini jelas disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis iaitu Amalan baik manusia bukan jaminan untuk masuk ke syurga.Semuanya bergantung pada rahmat (belas kasihan) Allah kepada hamba-hamba-Nya.Manusia perlu faham akan hakikat ini supaya mereka sedar akan kedudukan mereka di sisi Allah dan mereka tidak berasa bahawa kemasukan mereka ke syurga merupakan hasil penat lelah mereka beramal baik semasa di dunia.Hal ini merupakan pandangan yang silap.(Rujuk hadis no:6464 Sahih al-Bukhari.Untuk penjelasan lanjut sila rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh al-Bukhari,Jilid 11/hlm 409,410,411 dan 412)
            Sebenarnya cita-cita untuk memasuki syurga sepatutnya ditanam dalam jiwa setiap muslim supaya mereka sentiasa berusaha mendapatkannya.Usaha atau amalan untuk mendapatkan syurga bukanlah mudah.Jalan ke syurga dipenuhi oleh onak duri dan kepayahan.Terdapat banyak halangan yang perlu dilepasi untuk memasuki syurga.Ada halangan yang terdapat dalam diri manusia sendiri dan ada halangan yang melibatkan manusia lain.
            Antara penghalang manusia daripada memasuki syurga ialah sifat takabur atau bongkak.Hal ini disebut dengan jelas oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis sahih dari  Abdullah bin Mas’ud RH yang berbunyi:
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلبِهِ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada dalam hatinya walau sedikit sifat takabbur
(Hadis Riwayat Muslim No: 91,Sahih Muslim Syarh al-Nawawi,Jilid 2/hlm 268 dan Hadis Riwayat at-Tarmizi,Tuhfah al-Ahwazi,Jilid 6/hlm 104)
            Sifat Takabur yang dimaksudkan di sini ialah sifat takabbur yang menyebabkan seseorang itu membanggakan diri dengan merasakan bahawa dirinya lebih baik daripada orang lain di samping memandang rendah kepada orang lain dan menolak kebenaran yang datang daripada Allah.Menolak kebenaran di sini bermaksud menolak kebenaran agama Allah.Sifat takabur ini membawa kepada kekufuran.Kekufuran inilah yang akan menghalang seseorang daripada masuk ke syurga.Wallahu a’lam(Sahih Muslim Syarh al-Nawawi,Jilid 2/hlm 268,269,270 dan 271)