Tuesday, 26 November 2013



SUARA DAKWAH
SMK Dato’ Haji Hussein, 34100 Selama, Perak
Bil: 2 Tahun: 1 Tarikh: 18 Jamadilawal 1429H/23hb Mei 2008
Oleh: Ahli Jawatankuasa Dakwah & Kebajikan, SMK Dato’ Hj. Hussein, 34100 Selama, Perak

AKHLAK MULIA & KELEBIHAN-KELEBIHANNYA
Saudara-saudariku muslimin muslimat & anak-anak yang dirahmati Allah sekalian..
Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari Jumaat ini  kita masih  diberi-
-kan peluang oleh Allah SWT untuk terus menyedut udara segar di atas bumi Allah yang fana ini. Kita bersyukur kepada-Nya kerana melimpahkan  kurnia kepada kita dengan limpahan kurnia yang tidak terhingga. Kita diberikan rezeki yang cukup banyak. Kita  diberikan ilmu pengetahuan dan akal yang dapat menilai  antara yang baik dan yang buruk. Kita dianugerahkan dengan Iman dan Islam. Amma ba’d.
     Ikhwani muslimin dan muslimat…
            Islam datang dengan sistem akidah, syariah dan akhlak yang cukup canggih menjangkau kemampuan akal manusia untuk memikirnya. Ketiga-tiga komponen ini amat penting untuk membentuk keperibadian muslim yang akan mendapat al-Falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat.
Akhlak ialah perkataan Arab yang berasal daripada kata “khuluk”   (kata tunggal) 
 sementara akhlak ialah kata majmuknya. Dari segi bahasanya akhlak boleh ditakrifkan sebagai “maruah, adat, watak, tabiat semulajadi dan lain-lain”.[1] Menurut Kamus Dewan pula, akhlak ialah “budi pekerti, kelakuan dan tabiat manusia”.[2]Khuluk termasuk sifat semulajadi, tabiat, maruah, agama atau ringkasnya gambaran batin seseorang[3] Menurut Ibnu Athir dan Imam al-Ghazali RH, kata “khuluk” ialah “gambaran batin seseorang termasuk jiwa, inspirasi, kehendak dan sebagainya. Sementara kata “khalqupula ialahgambaran luaran yang boleh dilihat dengan mata kasar.[4]
Dari segi istilah pula, akhlak bermaksud “sempurna nilai dan  sifat  yang  sebati  
dalam diri seseorang”. Menurut al-Ghazali pula akhlak “bukan pengetahuan atau kebolehan untuk melakukan sesuatu dan bukan juga baik atau buruk itu sendiri tetapi gambaran kejiwaan yang menjadi punca wujudnya tingkah laku.”[5]
Menurut Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, akhlak ialah suatu sikap yang melekat  da-
-lam jiwa seseorang yang melahirkan perbuatan-perbuatan berdasarkan kemahuan dan pi-
-lihan baik dan buruk,terpuji dan tercela. Akhlak melekat menjadi tabiat jiwa kerana pengaruh pendidikan baik dan buruk.[6] Secara ringkasnya, akhlak  merangkumi 3  unsur. Sekiranya terkurang  salah  satu daripadanya, 3 unsur itu tidak dinamakan akhlak.Tiga unsur itu ialah:
i)                    Keadaan Jiwa yang membentuk perilaku seseorang
ii)                  Perbuatan zahir yang lahir hasil kemahuan seseorang
iii)                Perbuatan itu berterusan sehingga menjadi kelaziman
Apabila jiwa  seseorang  dididik  mengutamakan  kebaikan, kebenaran dan sayang
akan yang makruf, senang kepada kebaikan,mencintai yang terpuji dan membenci yang tercela ,maka sifat-sifat itu menjadi tabiat bagi jiwa, yang melahirkan perbuatan-perbuatan baik dengan mudah tanpa paksaan.Orang itu dikatakan berakhlak mulia. Begitulah sebaliknya yang akan melahirkan akhlak yang jahat pula.
Kelebihan-Kelebihan Berakhlak Mulia
            Akhlak mulia terlalu banyak untuk disebut di sini. Kita akan membincangkan contoh-contoh akhlak mulia dalam keluaran yang akan datang insya Allah. Fokus perbincangan kita kali ini ialah kelebihan-kelebihan berakhlak mulia. Antara kelebihan berakhlak mulia ialah:
1) Akhlak mulia ialah cerminan iman
Iman ialah intipati ajaran Islam yang dibawa oleh para nabi dan rasul sejak zaman berzaman.Iman adalah penggerak segala kebaikan.Sekira kita ada iman kita akan berasa takut untuk melakukan dosa kerana kita percaya adanya pembalasan azab yang akan kita terima disebabkan dosa kita itu.Kita akan melakukan kebaikan sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya kerana kita mengharapkan balasan baik yang dijanjikan kepada orang-orang baik. Sekiranya seseorang itu berakhlak mulia, itu tandanya kesempurnaan imannya.Oleh sebab itu, Islam terlalu mementingkan akhlak mulia.Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menggambarkan kepentingan akhlak mulia.Antaranya ialah firman Allah yang berbunyi:
Ertinya:Wahai orang-orang mukmin, bertakwalah kepada Allah dan
 hendaklah kamu berada bersama orang-orang yang benar.[7]
Dalam satu riwayat, Rasulullah telah ditanya siapakah yang paling sempurna imannya (أَي المؤمن أكمل إيمانا). Baginda SAW menjawab: Orang yang paling sempurna akhlaknya (Hadis Riwayat At-Thobrani)[8]
Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menghiasi diri kita dengan hiasan akhlak mulia sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Marilah kita berusaha sedaya upaya kita mengikis sikap buruk sedikit demi sedikit dan akhirnya kita berjaya membuang perangai buruk yang mungkin ada. Marilah kita ingat bahawa ganjaran untuk mereka yang berakhlak mulia amatlah besar. Tidak ruginya berakhlak mulia. Keuntungannya bukan hanya setakat di dunia malah menjangkaui hingga ke akhirat. Akhlak mulia dikaitkan dengan iman. Sekiranya kita terlalu malas, senyum pun sudah memadai kerana senyum pun memberikan pahala kepada kita (maksud hadis). Alangkah pemurahnya Allah. Sekiranya kita berdakwah kepada orang lain untuk beramal dengan agama Islam, pahalanya akan berganda. Orang menunjukkan jalan kebaikan, pahalanya seperti mengamalkannya (maksud hadis). Fikir-fikirkanlah saudara-saudariku dan marilah kita bersama-sama mengamalkannya…wallahu a’lam. Wassalam.  
Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling baik akhlaknya
-maksud hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tarmizi dan Ahmad



[1] Qamus al-Munjid, 1997M.Hal:195
[2] Kamus Dewan (Edisi Ke-3), 2002.Hal:21
[3] Akhlak Islamiah (Nota Kuliah),Kolej Pengajian Tinggi Islam (Al-Insaniah), Ipoh (2006), Hal:10
[4] Ibid, Hal:10
[5] Ibid, Hal:11
[6] Minhaj al-Muslim (Terjemahan),1992M, Hal:233
[7] Al-Quran Surah At-Taubah ayat 119.
[8] Kitab At-Targhieb wa at-Tarhieb min al-Ahadieth asy-Syarief oleh Imam al-Hafiz al-Munziri,. Jilid 3 hlm.409.

No comments:

Post a Comment